Ikan Beracun


SEJENIS lagi ikan berbahaya ialah jenis beracun. Ada dua jenis ikan bagi kategori ini. Pertama, ikan yang semula jadinya menyebabkan keracunan berpunca daripada bahagian luar atau organ dalaman seperti bahagian gonad (yang mengeluarkan telur atau sperma).

Contoh paling popular ialah ikan buntal (pufferfish), porcupinefish dan boxfish. Walaupun ikan ini dimakan orang Jepun melalui penyediaan oleh tukang masak berlesen.

Jenis kedua ikan beracun ialah yang menelan bahan beracun yang hidup pada batu karang mati atau alga. Racun itu dikenali sebagai ciguatera yang mengumpul pada ikan berkenaan yang kemudian dimakan ikan lebih besar seperti alu-alu, kertang dan red bass.

Simptom akibat memakan ciguatoxic kelihatan pada tempoh masa satu hingga 10 jam selepas memakannya. Mangsa akan mengalami cirit-birit selain kebas pada bibir, jari dan tangan. Kes paling buruk akan menyebabkan mangsa koma dan sesak nafas.

Tahap keracunan bergantung kepada jumlah ikan yang dimakan dan kepekatan toksid. Sebagai amalan selamat mengelakkannya, adalah bijak jika anda tidak memakan alu-alu dan red bass bersaiz besar, atau kerapu gergasi yang lazimnya dikaitkan dengan kes keracunan di rantau Asia Tenggara.

Bulan Terang Dan Gelap

Ada pemancing gemar memancing ketika bulan gelap dan sebaliknya. Oleh kerana perairan (Selat Melaka) Pantai Barat Semenanjung agak sempit maka setiap hari berlaku dua kali air pasang dan surut. Maknanya selang 6 jam akan berlaku perubahan arus sama ada daripada pasang ke surut dan sebaliknya. Disebabkan paras pasang surut ini pula bergantung kepada peredaran bulan maka terjadi pula apa yang nelayan istilahkan sebagai air mati/bebanir dan air besar. Juga berlaku perubahan daripada air mati menjadi air besar dipanggil air menyorong dan daripada air besar menjadi air mati yang dipanggil air mengurang.

Jika ingin keselesaan memancing, ramai memilih ketika air mati iaitu dari 7 hingga 11 dan 19 hingga 24 bulan Islam. Ketika ini perubahan pasang surut tidak begitu ketara dan arus bergerak sederhana laju. Untuk mendapatkan keterangan dan paparan terperinci paras pasang surut, anda boleh merujuk kepada carta pasang surut yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut. Ia boleh dibeli di pejabat Shahbandar Wilayah atau kementerian berkaitan.

Air begini sesuai untuk memancing dasar. Cuma jangan pergi memancing pada waktu air mati kekal yang mana ketika itu arus boleh dikatakan sangat lemah atau tiada langsung. Keadaan ini turut menyebabkan ikan menjadi pasif apatah lagi untuk menelan umpan.

Pada zaman revolusi memancing yang sudah beralih angin yang mana penggunaan umpan tiruan lebih digemari kerana berstatus sukan pancing, air besar pula menjadi pilihan. Teknik jigging (mengunjun), trolling (menunda), popping (melontar popper) dan casting lebih praktikal dilakukan ketika air besar. Jadi, apa yang dapat penulis simpulkan di sini ialah kita masih boleh memancing tidak kira air besar atau air mati asalkan bijak menggunakan keadaan, memilih peralatan dan tahu persekitaran yang ada.

Ikan Dunia Pupus Angkara Pukat Tunda

LONDON: Ramalan saintis bahawa tamadun manusia bakal kehilangan sumber perikanan menjelang tahun 2048 menjadi tepat sekiranya masyarakat antarabangsa gagal bersatu mengharamkan penggunaan pukat tunda yang disahkan punca kepupusan hidupan laut serata dunia.

Rabu lalu, saintis sekali lagi mengeluarkan amaran tegas betapa penggunaan berleluasa pukat tunda penyebab utama kerosakan habitat ikan dan ekosistem laut.

Terumbu karang utama dunia yang dihuni ribuan spesies ikan didapati makin mengecil manakala rekaan makin canggih alat pukat tunda yang digunakan nelayan negara maju mempercepat sisa terumbu karang sama ada di Lautan Pasifik, Atlantik dan Lautan Hindi terdedah kepada ancaman nelayan antarabangsa berkenaan.

"Kita berdepan saat kecemasan, pertama menyusun semula kaedah tangkapan dan kedua memeriksa semua habitat ikan sebelum ia lenyap," kata Dr Alex Rogers, dari Jabatan Zoologikal London yang bertanggungjawab menulis laporan saintifik yang bakal dibentangkan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB sebelum ini pernah membahas usul pengharaman pukat tunda tetapi ia tertangguh seketika apabila Presiden Korea Utara, Kim Jong Ill secara tiba-tiba menguji senjata nuklear menyebabkan Majlis Keselamatan PBB menumpu perbahasan untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara itu.

Rogers juga menemui bukti baru kawasan gunung laut yang tingginya 1,000 meter dari dasar laut yang dipenuhi hidupan marin, tetapi tidak menyebut jumlah sebenar kawasan berkenaan.Ia pernah dianggarkan mencecah 100,000 tetapi Rogers mengesahkan maklumat saintifik yang dikumpulnya ia hanya terdapat 40 saja.

Laporan itu juga mendakwa 11 negara bertanggungjawab dengan penggunaan 95 peratus pukat tunda di laut antarabangsa bagi menangkap ikan kod, alfonsino dan orange roughy di selatan Laut Hindi, selatan Laut Atlantik dan kawasan tengah Lautan Pasifik.

Matthew Gianni, mengesahkan kalangan negara Eropah, Sepanyol memiliki 40 peratus kelengkapan pukat tunda diikuti Russia (14 peratus), Portugal, Estonia dan Norway masing-masing tujuh peratus.

Nilai tangkapan pukat tunda Eropah pada 2001 mencecah AS$280 juta (RM756 juta) hingga AS$320 juta (RM864 juta) atau bersamaan 0.5 peratus tangkapan keseluruhan dunia.

Perambut Dawai




Toman untuk air tawar selain alu-alu, tenggiri, jerung dan todak adalah spesies bergigi tajam. Jika gewang sekadar tersangkut pada mulut ikan tanpa perambut dawai mungkin tiada masalah tetapi banyak pemangsa ini menelan gewang sehingga boleh menyebabkan perambut tangsi atau tali utama, putus.

Serangan ikan bergigi tajam ini secara tiba-tiba dan luar biasa kekuatannya juga mungkin boleh memutuskan tali. Ramai pemancing memilih jalan paling selamat untuk menyelamatkan gewang ialah dengan menggunakan perambut dawai.

Untuk aktiviti mengilat di air tawar, jika kawasan itu dikenalpasti tiada toman, sebaik-baiknya gunakan tangsi supaya renangan gewang lebih realistik. Untuk menunda di lautan, paling baik menggunakan perambut dawai kerana serangan spesies ikan tidak menentu dan hampir 80 peratus hasil adalah spesies bergigi tajam.

Kekuatan perambut dawai disyorkan antara 50 hingga 60 paun. Tetapi jika berhajat ikan lebih besar dan menunda di kawasan jurang karang atau berstruktur batu, gunakan yang lebih kuat sehingga 150 paun. Untuk mengilat gewang, perambut dawai kurang daripada sekaki manakala menunda lebih panjang lebih elok (60 cm amat berkesan).

Untuk jaminan, perambut dawai jenis keluli tahan karat dengan 49 jalinan berbanding perambut dawai mono. Warna pilihan pula hitam dan hijau tetapi kebanyakan jalinan 49 berwarna perak. Jangan gunakan perambut terlalu berkilat atau terang supaya tumpuan ikan hanya pada gewang bukan objek lain terutama kabel atau tangsi.

Rak joran




PELBAGAI alat digunakan untuk menyimpan joran. Ada pemancing yang menggunakan beg galas, bekas plastik berbentuk silinder dan tidak kurang juga yang menyangkut joran ke dinding.

Bagaimanapun, jika anda rajin dan berminat, anda boleh membuat rak kayu sendiri bagi menyandarkan joran dan ia sudah tentu tidak akan merosakkan joran sehubungan itu, jika ada ingin mendapatkan lebih banyak ilham, layari laman http://www.thesundeckonline.com yang banyak menampilkan kelengkapan joran terutamanya rod dan tempat atau palang bagi menempatkan joran anda.

Tidak dapat dinafikan ada banyak jenis tempat menyimpan rak joran. Paling menarik, kunjungi laman web http://www.fishinontario.com atau http://www.boatasystems.com kerana kedua-dua laman ini menyediakan contoh menyimpan atau meletak rak dengan cara cukup kreatif.

Pernah atau tidak anda terbayang mengenai tempat menyimpan rak yang dibuat di bahagian hadapan kereta atau tempat meletakkan joran di bahagian tempat duduk di dalam bot? Pastinya perkara ini menarik sekiranya anda dapat melakukannya sendiri.

Alat berdepan bisa ikan


PELBAGAI jenis peralatan diperlukan oleh penggiat sukan memancing dalam usaha memenuhi keperluan mereka ketika memancing di laut. Selain pisau, gunting, pengetip kuku dan tandu, ragum tidak dapat dinafikan kepentingannya. Ragum terutamanya amat berguna sekiranya anda menaikkan spesies yang bersengat.

Semilang atau pari umpamanya menyimpan sengat yang berbisa dan boleh membawa mudarat kepada anda. Jadi langkah pertama ialah mematahkan sengatnya sebelum dicabut mata kail yang ditelan oleh ikan itu. Oleh itu, ragum amat penting jika anda menghadapi situasi seperti ini.

Ada banyak laman web yang menyediakan senarai atau kelengkapan memancing. Khusus untuk ragum, anda boleh membuat pencarian di bawah alamat ini http://www.teamnumark.com/display.asp. Tekan saja butang pencarian, gambar berserta harga tertera dan anda juga boleh membuat pesanan terus berdasarkan syarat tertentu yang dinyatakan.

GELARAN IKAN

BANYAK ikan diberi nama sempena haiwan lain contohnya ikan kerbau, ikan kucing, ikan rama-rama, ikan gajah, ikan itik, ikan helang, kuda, unicorn, bebiri, landak, harimau, arnab dan tupai.

KENAPA BUNTAL KEMBUNG?SEMUA jenis buntal memang unik. Ia mampu mengepam udara dan air ke dalam badannya mengikut keperluan semasa. Jika kelemasan atau tersadai di darat, buntal mengisi pundi paru-parunya dengan udara. Sebab itu badannya selalu kelihatan kembung gedempol.