Fahami istilah `tengok air’ dan `tengok bulan’
Kalau di Pantai Barat, tekong sering merujuk kepada air kerana ia elemen yang penting apabila memancing di sini.
Air merujuk kepada keadaan arus kerana Selat Melaka yang sempit menyebabkan terjadi perbezaan pasang surut yang amat ketara ketika air besar pada paras sehingga 5 meter.
Ia terjadi sama ada ketika bulan purnama (hari 15 bulan Melayu) dan bulan gelap sewaktu muncul anak bulan (hari 1 bulan Melayu). Apabila arus deras, ia akan mengeruhkan air dan menyukarkan ikan menemui umpan yang dilabuhkan.
Malah kehadiran arus melampau seterusnya mudah menghanyutkan ladung kecil. Masalah akan lebih rumit jika ramai pemancing berada dalam satu bot dan arah tali tertumpu pada satu kawasan seterusnya fenomena tali bersimpul sesama sendiri mudah terjadi.
Dalam dunia pancing moden kini, ramai pemancing memilih untuk keluar ketika air besar tetapi tumpuan memancing lebih kepada teknik jigging dan trolling. Dua teknik ini lebih efektif ketika air besar berbanding air mati untuk di Pantai Barat. Ikan dikatakan lebih agresif menyambar umpan ketika air pasang.
Istilah ‘tengok bulan’ sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan oleh nelayan Pantai Barat sebagai ‘tengok air’. Kerana asasnya pengaruh air adalah merujuk kepada peredaran bulan. Fakta menarik ialah sesetengah tekong suka memancing ketika bulan gelap dan ada memilih ketika bulan terang.
Masing-masing ada kelebihan sendiri merujuk kepada spesies ikan yang diburu. Ketika bulan gelap, tumpuan pemancing lebih ketara kerana ketika ini sotong mudah diperolehi dengan memasang cahaya lampu pada bot.
Jika bulan terang, sotong dikatakan berselerak di serata kawasan dan sukar untuk nelayan atau pemancing untuk menarik perhatian sotong. Sotong selain elemen hasil, ia juga adalah umpan terbaik memancing sebelah malam.
Sebab itu ramai menggemari memancing pada bulan gelap berbanding bulan terang kerana faktor di atas. Namun selain faktor air dan bulan, satu lagi aspek penting dalam perancangan trip memancing ialah ramalan cuaca atau keadaan musim yang bakal melanda pada hari perancangan.
Baik mana sekalipun keadaan bulan dan air tetapi jika cuaca tidak mengizinkan maka aktiviti memancing menjadi tidak bermakna.
Ombak kuat, hujan lebat hujung minggu
Hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda perairan Pantai Timur, termasuk Johor dan Pahang Tenggara sepanjang hari hujung minggu ini yang boleh mengakibatkan banjir.
Bagaimanapun, penduduk di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan perlu berwaspada hari ini berikutan angin yang bertiup kencang juga akan dialami dua negeri terbabit serta hujan sepanjang hari.
Kaki pancing serta nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut kerana keadaan laut dijangka bergelora disebabkan angin kencang yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Angin kencang di perairan Selat Melaka dan Negeri Sembilan, dijangka bertiup sepanjang hari Jumaat antara 30 hingga 40 kilometer sejam menyebabkan ketinggian ombak antara 2.5 meter hingga 3 meter.
Keadaan cuaca buruk itu dijangka melarat hingga ke Johor dan Pahang Barat pada Sabtu dan Ahad yang dijangka menyebabkan dua negeri itu dilanda banjir buat kali kedua.
Angin Timur Laut yang bertiup antara 40 hingga 50 kilometer sejam boleh mengakibatkan ombak setinggi antara 3.5 hingga 5 meter sepanjang hari Sabtu dan Ahad.
Nelayan bot kecil dan sederhana termasuk kaki pancing dinasihatkan tidak turun ke laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta keadaan itu akan dikeruhkan lagi dengan hujan lebat.
Sumber Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, mereka yang mendiami kawasan yang sering dilanda banjir sebelum ini, tebing sungai dan kawasan rendah diminta berjaga-jaga.
Jabatan itu sudah mengeluarkan amaran kepada persatuan nelayan kawasan dan agensi kerajaan terbabit di kawasan berkenaan untuk memastikan mereka yang menjalankan aktiviti di laut termasuk nelayan tidak keluar menangkap ikan.
Hujan lebat serta angin kencang itu boleh mengakibatkan banjir di kawasan persisiran pantai dan pedalaman. Manakala paras banjir mungkin kembali melanda di negeri yang baru pulih daripada fenomena itu.
Nafikan Peranan Bomoh
a) Ikan: Inilah sasaran utama memancing ialah menjinakkan ikan, sotong, ketam dan udang. Tanpa ada sasaran, mungkin usaha menjadi sia-sia dan matlamat tidak dapat dikecapi.
b) Umpan: Memancing memerlukan umpan untuk menarik perhatian mangsa. Umpan merujuk kepada umpan hidup, mati mahupun tiruan seperti gewang, jig dan plastik lembut. Tanpa umpan ikan buruan tentu tidak akan menjamah pancing.
c) Masa: Sesetengah diet dan selera ikan berkait rapat dengan masa. Sama ada siang dan malam, ketika air berarus atau tiada arus mahupun musim di kawasan persekitaran.
d) Peralatan dan Kemahiran: Setiap kawasan dan jenis ikan buruan mesti dipadankan dengan peralatan yang sesuai.Gagal memilih peralatan seimbang dan sesuai boleh menyebabkan anda berputih mata. Pemilihan, penggunaan dan kawalan terhadap peralatan pula memerlukan kemahiran. Kemahiran boleh dikecapi melalui pengalaman dan tunjuk ajar selain melalui bacaan serta internet.
e) Nasib: Nasib bukan satu pintu rezeki tanpa ia diusahakan terlebih dulu. Sebagai contoh, jika kita menaiki bot memancing, jangan harap ikan meloncat masuk ke dalam bot dengan sendiri. Konsep memancing memang tidak dapat lari daripada ungkapan ‘kita tidak tahu di mana ikan, kalau bernasib baik kita boleh dapat’.
Jika kita memancing di kawasan yang sama (satu bot misalnya duduk sebelah menyebelah) dengan peralatan, umpan dan teknik sama. Tiba-tiba hanya rakan di sebelah yang menaikkan ikan sedangkan umpan anda langsung tidak disentuh. Jika ini berlaku, maka dia memang lebih bernasib baik daripada anda.
Tapi jika anda sedang bertarung dengan saiz ikan yang sama menggunakan peralatan yang sama, tiba-tiba anda gagal atau ikan terlepas ataupun tali putus sedangkan rakan anda berjaya menewaskan mangsa. Ini boleh katakan kemahiran pula menentukan kejayaan.
Jika hanya umpan berlainan maka diet atau umpan menjadi faktor. Jika umpan yang sama digunakan di lokasi yang sama tetapi memancing pada masa berlainan siang dan malam contohnya, masa pula menjadi elemen penentu.
Jadi, petua memancing ialah kita perlu ada asas dan memahami lima elemen utama ini bukan menggunakan khidmat bomoh!
Jigging Master lasak, kukuh
JOHOR BAHRU: Demonstrasi mengangkat beban 51 paun yang diikat pada hujung joran Jigging Master ternyata memukau.
Bayangkan pangkal joran yang sebesar ibu jari kaki dan hujungnya bagai jari tirus bayi mampu mengangkat beban sehingga kira-kira 25 kilogram!
Itulah kehebatan joran Jigging Master buat Taiwan yang kini semakin popular di pasaran tempatan. Produk edaran Fishingline Tackle & Trading di Jalan 10/5, Bandar Baru Permas Jaya dekat sini.
Pemilik kedai itu, Calvin Siah Kwi Pau, berkata ada 10 model joran kosong yang sedia untuk dijual dan ditempah dengan reka bentuk mengikut cita rasa pelanggan.
Joran kosong dijual antara RM400 hingga RM650 tiap satu. Joran aksi berat itu memiliki kemampuan maksimum mengangkat beban sehingga 30 kilogram.
Panjangnya 5 kaki 9 inci dan yang siap ditempah mencecah RM1,1000 sebatang.
Jigging Master, katanya, popular di Taiwan, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia selain Thailand dan Burma.
Pasang Surut Air Laut
Pantai adalah salah satu lokasi kegemaran ramai pemancing kerana kosnya murah dan kita boleh membawa bersama ahli keluarga beriadah di tepi pantai. Bersantai sambil memancing.
Pancingan pantai berbeza dengan memancing dari atas bot/sampan kerana memancing dari pantai kita banyak bergantung kepada kehadiran ikan berbanding dari bot mudah kita berpindah mencari lubuk ikan.
Petua orang -orang tua mudah saja iaitu kalau memancing di pantai pastikan kawasan itu ada ‘kawanan ikan’. Ada kawanan ikan membawa maksud tertentu sama ada dari segi ikan mangsa dan ikan pemangsa.
Sebelum saya huraikan lebih lanjut mengenai kawanan ikan, lebih baik kita bincang dulu mengenal perihal air. Kehadiran ikan di kawasan pantai banyak bergantung kepada pasang surut air serta suasana sekeliling.
Di pantai Barat pasang surut air terjadi 2 kali sehari manakala pantai timur tidak menentu, ada pantai pasang dan surut sehari sekali dan ada yang pasang anak kemudian sekali pasang biasa. Didalam keluaran sisipan JORAN ini ada jadual pasang surut air di sesetengah tempat yang terpilih.
Ia dapat merancang pemancing waktu sesuai turun memancing. Hasil pancing pantai banyak bergantung kepada kemahiran pemancing membaca pergerakan air. Waktu air pasang adalah masa terbaik memancing kerana ketika ini banyak ikan pemangsa rapat ke pantai mencari makanan.
Ia semakin menjauh dari kawasan persisiran pantai apabila air menyunsung surut. Waktu kurang efektif ialah ketika cuaca panas seperti tengah hari.Awal petang hingga ke pagi adalah waktu sesuai kerana ketika ini ai sunyi dan ikan lebih berani rapat ke pantai.
Jika anda mengetahui struktur pesisiran beting dan dasar di pantai yang di lewati ia mungkin menjadi satu bonus kerana kita dapat mengagak lubuk pilihan ikan semasa.
Jika air jernih di pantai, kawasan dalam mudah di kenal pasti melalui perbezaan warna air. Jika terang memutih menandakan ia cetek, hijau dan biru gelap menandakan ia dalam manakala jika gelap kehitaman mungkin ada struktur karang di dasarnya.
Selain bijak membaca pasang surut air, musim ikan masuk pantai juga boleh dijadikan faktor penentu. Ini di katakan bila 'kawanan ikan' bergerak ke pantai seperti contoh ikan bilis sudah pasti ikan pemangsa akan turut mengekori kawanan bilis tadi secara semula jadi.
Ia biasanya akan berada di satu-satu kawasan pantai dalam satu tempoh yang singkat. Nelayan pantai pasti tahu mengenai kehadiran kumpulan ikan ini kerana ini adalah sumber pencarian mereka. Pendek kata, kita kena pandai pasang telinga! Saya sendiri sering tunggu saat ini.
English Translate
udang galah-Umpan berbau lebih cepat beri hasil
Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan ‘berbau’. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.
Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail. Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam.
Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.
Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa. Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.
Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar. Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.
3. Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan. Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 6 hingga no 8 kerana saiz ini paling sesuai. Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan.
Translate To English:
Ukur joran - tangkapan lumayan
PERNAH anda mendengar pemancing dulu yang menggunakan joran buluh terlebih dulu menyukat ukuran panjangnya dengan menjengkal joran berkenaan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk tangan kanan?
Ukuran terbaik diguna pakai ialah pada ukuran bilangan jengkalan pada angka ganjil. Ini satu kepercayaan pada ketika itu. Malah ukuran itu juga turut dilakukan oleh sesetengah pemancing veteran yang beranggapan bahawa ukur ganjil itu boleh mendatangkan hasil tangkapan yang lumayan.
Adakah anda percaya dengan kepercayaan ini?
Jika itu dijadikan satu amalan yang membolehkan seseorang mendapat rezeki yang lumayan, mengapa hari ini rata-rata pemancing tidak menjengkal batang pancing sebelum membelinya?
Justeru, tentunya kepercayaan ini sudah tidak dapat dipakai atau diterima lagi pada zaman sekarang yang serba-serbi moden ini. Tetapi apapun yang diamalkan dulu tetap masih boleh diterima pakai sebagai petua. Contohnya, mendahulukan kaki kanan ketika melangkah keluar dari rumah, membaca Bismillah dan selawat, tidak melangkah batang pancing, mesra dengan anak-anak dan isteri sebelum pergi memancing serta tidak digalakkan membawa kaki pancing yang panas baran mahupun mulut celupar.
Perkara-perkara seperti ini harus difikirkan dengan teliti supaya tidak berlaku kekesalan jika berlaku sesuatu yang buruk yang membabitkan keseluruhan pemancing.
Tetapi hari ini, amalan itu sudah tidak diguna pakai lagi tambahan pula joran yang dibeli sudah lengkap dengan cincin di bahagian hujung. Ini sudah pasti sukar untuk dipotong untuk mendapatkan ukuran ganjil.
Apa pun, terpulang kepada anda sama ada hendak menggunakan joran buluh yang ukurannya dijengkal atau menggunakan joran sedia ada daripada pelbagai jenama terbaik lagi canggih.
Translate To English
Tip Pasang Umpan
SIMPULAN ini sesuai digunakan untuk mengikat umpan sama ada hirisan sotong ataupun keratan ikan dalam keadaan air yang berarus tidak kira di laut ataupun sungai.
1. Umpan yang dipotong dimasukkan menerusi mata kail namun kaedah ini ada keburukan sekiranya menggunakan umpan yang lembut kerana ia berkemungkinan akan dimakan ikan yang tidak dikehendaki ataupun bersaiz lebih kecil.
2. Bagaimanapun, umpan akan lebih selamat jika dimasukkan menerusi tali pancing terutama pada tahap air yang lebih dalam.
3. Kemudian lipat umpan dan sekali lagi masukkan mata kail menerusinya untuk memastikan keberkesanan mata kail.
4. Bahagian lebihan umpan mampu menjadi daya penarik apabila ia bergerak dibawa arus.
5. Sekali lagi masukkan mata kail menerusi bahagian terakhir untuk memastikan mata kail terkeluar dari umpan.
6. Ambil sepotong lagi umpan dan lipat kemudian masukkan menerusi mata kail.
7. Tolak bahagian umpan yang terlipat untuk memastikan mata terkeluar dan mengenakan mangsa dengan baik.
Translate To English:
Simpulan Duncan’s Loop
ADAKALANYA jenis tali pancing yang sama boleh mengelirukan terutama untuk membezakan manakala ia lebih merumitkan apabila membabitkan memancing layang.
Peter Hayes, mencadangkan simpulan Duncan’s Loop untuk memudahkan ikatan ketika memancing cara layangan.
1. Masukkan tali pancing utama pada lubang mata kail dan buat satu gegelung.
2. Ambil bahagian hujung tali pancing dan kemudian masukkan ke dalam gegelung dan lilit pada tali utama.
3. Ulang lilitan sehingga empat atau lima kali.
4. Matikan simpulan dengan mengambil bahagian hujung dan dimasukkan dalam gegelung.
5. Kemudian kemaskan ikatan mengikut saiz yang diperlukan.
Translate To English