Raya Petunjuk Kualiti Ibadat Puasa

SETELAH hampir sebulan Ramadan, esok umat Islam menyambut satu Syawal dengan penuh gembira. Nikmat satu Syawal bermakna kita kembali kepada fitrah. Sebab itu, hari raya satu Syawal dikenali sebagai I'dul Fitri.

Ramadan sebagai satu sekolah atau institut yang bertujuan melahirkan generasi bertakwa hampir musnah matlamatnya apabila menjelangnya raya. Dalam bulan Ramadan, umat Islam gigih berpuasa dan beribadat. Namun apabila tibanya cahaya Syawal, semuanya hanya tinggal kenangan.

Apakah amalan-amalan sunat pada hari raya?
Bagi menjaga kelangsungan ibadah bulan Ramadan agar terus berkesinambungan dalam awal Syawal, ini adalah senarai amalan yang baik dilaksanakan pada hari raya.

1. Menghidupkan malam raya dengan ibadat seperti zikir, solat, tilawah al-Quran, takbir, tasbih dan istighfar.

Ini adalah senarai amalan yang sering diabaikan pada malam raya. Didapati masjid dan surau lengang. Malah untuk melihat saf solat macam solat terawih sudah tidak nampak lagi. Kalau semasa Ramadan, masjid melimpah-ruah dengan para jemaah, kini mungkin hanya tinggal pak imam dan bilal sahaja.

Tilawah al-Quran juga diabaikan. Apa yang nak dibaca lagi. Sudah khatam al-Quran pada malam 27 Ramadan seolah-olah khatam al-Quran penutup daripada membaca kitab suci itu. Takbir raya pun hanya sekadar rakaman di televisyen dan radio sahaja.

Sebenarnya, menghidupkan malam raya dengan amal ibadat ini besar fadhilatnya. Diriwayatkan satu sabda Nabi s.a.w. maksudnya : Sesiapa yang bangun malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekelian hati. (Riwayat Ibnu Majah).

2. Solat Isyak dan Subuh berjemaah.

Ini adalah sekurang-kurang kaedah bagi menghidupkan malam raya. Solat Isyak mungkin OK tapi solat Subuh kebanyakannya KO. Masjid lengang juga waktu solat Subuh tetapi penuh sesak ketika solat hari Raya.

3. Mandi sunat hari raya, memakai baju yang elok dan memakai wangian. Alhamdulillah, bab ini tak ada masalah. Bahkan dua bulan sebelum raya lagi, ramai umat Islam sudah membeli kain untuk dijadikan baju raya. Bukan satu bahkan dua atau tiga pasang setiap seorang.

Mandi sunat hari raya waktunya sekitar awal pagi sebelum Subuh lagi. Kalau mandi sunat selepas solat Subuh tidak mengapa. Menjadi sunnah Nabi s.a.w. untuk mandi pada hari raya.

Begitu jugalah digalakkan agar memotong kuku. Mungkin juga elok jika rambut yang panjang bagi lelaki dipotong pendek.

4. Makan sedikit dahulu sebelum solat raya Fitrah. Maknanya elok diambil sedikit sarapan sebelum pergi ke tempat solat Raya. Hikmatnya bagi menyatakan bahawa hari ini bukan untuk berpuasa tetapi hari untuk makan. Mengikut sunah Nabi s.a.w., Baginda makan beberapa biji tamar. Anas r.a. berkata : "Adalah Nabi s.a.w. tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar". (Riwayat Bukhari).

Bab ini pun tidak ada masalah. Cuma mungkin kurang sunahnya apabila dimakan terlalu banyak dengan pelbagai jenis makanan. Ada ketupat, masak rendang, lemang, kuih-muih, laksa dan sebagainya.

5. Segera ke tempat solat untuk menanti solat Raya. Seeloknya berjalan kaki ke tempat solat. Inilah yang sunah kerana ada disebut dalam riwayat Tirmizi bahawa daripada sunah untuk keluar kepada hari raya dalam keadaan berjalan kaki.

Tapi tengok jugalah berapa jauh. Kalau satu atau dua kilometer bolehlah berjalan kaki, tetapi kalau sepuluh kilometer, fikir-fikirlah sendiri.

6. Menzahirkan kegembiraan, ziarah menziarahi keluarga terdekat, kaum-kerabat dan sahabat-handai. Dengan ini akan terjalinlah kemesraan dan mahabbah kasih sayang antara umat Islam. Malangnya amalan ini mungkin kurang sikit. Ramai juga yang terperangkap dengan program televisyen yang memang mengasyikkan.

Hari raya memang baik untuk ziarah, bahkan tuan rumah memang sentiasa menanti kerana ada konsep 'rumah terbuka'.

7. Banyak bersedekah. Yang wajibnya hanya zakat fitrah tetapi kalau ada kemampuan, tak ada salahnya untuk bersedekah sunat. Mungkin inilah yang menjadi amalan tradisi memberi duit raya kepada kanak-kanak. Tak ada salahnya lagipun ia amalan sedekah yang dituntut. Kanak-kanak pula lagilah suka dan seronok apabila mendapat duit raya.

Sedekah juga amat digalakkan sepanjang bulan Ramadan. Apabila ditanya tentang sedekah yang afdhal, sabda Nabi s.a.w. : Sedekah pada bulan Ramadan. (Riwayat Tirmizi).

Bagaimana dengan amalan menziarahi kubur?

Adakah ziarah kubur ini sunat pada hari raya? Ada orang yang tidak menggalakkan ziarah kubur pada hari raya.

Walau bagaimanapun, ziarah kubur memang dituntut dalam Islam agar dapat mengingatkan kepada mati. Cuma, anak-anak muda sekarang banyak menetap di bandar-bandar besar. Jadi peluang menziarahi kubur kaum keluarga ketika pulang ke kampung. Kalau ditegah, alamatnya lambatlah nak ziarah kubur.

Yang penting, umat Islam perlulah bersedia untuk meneruskan kualiti ibadah puasa dengan menjaga kesinambungannya selepas berlabuhnya tirai Ramadan.

Antara perkara yang tidak mengikut syariat ketika berhari raya:

1. Pakaian mendedahkan aurat

Dedah aurat ini hukumnya tak boleh dalam Islam. Kebetulan pula hari raya ini berkumpul saudara mara, sahabat-handai, sepupu dan sebagainya di rumah, maka waktu inilah aurat agak terbuka. Waktu ini jugalah hendak melawa sambil menunjuk barang kemas yang ada sampai ke lengan, leher dan subang di telinga.

2. Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram

Kes begini selalu berlaku ketika hari raya. Mengikut hukum Islam, tidak berapa boleh juga hendak bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Kalau mahram tidak mengapa. Mahram ini ialah muhrim dalam bahasa orang Melayu. Mahram ialah orang yang tak boleh berkahwin dengan seseorang. Contohnya A, seorang lelaki. Mahramnya ialah ibu, nenek, ibu saudara, adik atau kakak kandung. Kalau B pula, seorang wanita maka mahramnya ialah bapa, datuk, bapa saudara, adik atau abang kandung.

Nabi s.a.w. tidak pernah menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Hinggakan pada waktu perjanjian atau baia'h, Nabi s.a.w. hanya membuat perjanjian dengan suara sahaja bersama wanita, bukan dengan berjabat tangan atau shake hand. Tetapi masa hari raya, bab salam ini kira borong sekali. Kawan sekelas, abang angkat, kakak angkat dan macam-macam hubungan yang tak mahram sudah jadi lain. Kalau nak bersalam juga, boleh tetapi biarlah berlapik dengan kain sebagai contoh.

3. Terlalu banyak makan minum
Memang hari raya hari yang tak boleh berpuasa. Maknanya kena makan. Tetapi walaupun Islam suruh makan, tetapi prinsip sederhana dalam makan hendaklah diutamakan. Banyak penyakit moden puncanya adalah terlebih makan. Diabetes, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan lain-lainnya adalah berpunca terlebih makan.

4. Rumah terbuka, masjid tutup

Memanglah majlis rumah terbuka amalan mulia. Sambil menjamu selera, dapat beramah mesra dan berkenalan dengan sanak-saudara. Yang tak baiknya, masjid pada hari raya sudah ditutup. Yang tinggal tok imam dengan bilal sahaja. Bulan Ramadan masjid meriah, tiba-tiba pada hari raya masjid ditutup pula.

5. Budaya terperap di rumah

Hanya menonton televisyen merupakan satu budaya yang kurang baik. Masa terbuang dan ziarah merapatkan silaturahim pun kurang.

KESIMPULAN

Hari raya adalah simbolik kepada kejayaan kita beribadat. Namun kemenangan ini tercalar apabila kita tidak meraikan hari raya dengan dengan berpandukan hukum agama.

Pemelihara Ikan Auarium

JIKA anda seorang pemelihara ikan akuarium, ikuti beberapa tip mudah yang mungkin dapat membantu hobi anda menjadi lebih bermakna:

Pastikan sentiasa membeli akuarium paling besar yang termampu anda beli dan mampu menampung lebih banyak air yang bakal memudahkan kestabilan biologikal di dalamnya.

Bagi memastikan akuarium mesra kanak-kanak, lebih meriah dan bebas debu, gunakan kelikir yang bersalut plastik dengan pelbagai warna.

Gunakan air akuarium untuk membersihkan span penapis bagi memastikan kita tidak memusnahkan bakteria baik yang sudah membiak di dalam span itu. Bakteria baik diperlukan dalam sistem akuarium kerana ia membantu proses meneutral dan menstabilkan air akuarium anda.

Anda perlu sentiasa memeriksa air akuarium daripada paras empat jenis kimia utama iaitu ammonia, nitrat, nitrit serta pH menggunakan bahan penguji yang tepat serta mudah.

Pastikan guna kombinasi mentol yang betul bagi memaksimumkan pembesaran dan pewarnaan ikan serta tumbuhan di dalam akuarium.

Pastikan tumbuhan akuarium anda membesar dan menyegar dengan membekalkan sumber CO2. Masukkan juga baja. Dapatkan nasihat penjual di kedai akuarium bagi membeli bahan ini.

Ingat bahawa kebanyakan tumbuhan akuarium mempunyai kecenderungan yang khusus berkaitan dengan kesesuaian air. Ini sama juga dengan ikan yang semestinya sesuai dengan tumbuhan dalam akuarium yang sama.

Gulung tali sulam set multiplier

Jika merujuk fungsi dan pergerakan yang dilakukan oleh penyusun tali kekili multiplier, kita dapati pergerakannya adalah ulang alik kiri ke kanan.

Semakin laju karauan, pergerakan penyusun tali selari dengan pusingan gegendung kekili itu. Hasilnya, tali menjadi kemas dan teratur. Ibu jari boleh diganti untuk memainkan peranan sebagai penyusun tali dengan gerakan sama seperti penyusun tali.

Pergerakan ibu jari seperti menarik dan menolak tali ketika ia masuk gegendung kekili. Gerakkan ibu jari tidak perlu keterlaluan memadai dalam jarak ¾ dari panjang gegendung.

Jika set joran dan kekili kecil, kita boleh gunakan serentak ibu jari dan jari telunjuk untuk memandu tali masuk ke gegendung dengan sekata. Sambil pada itu perhatikan gegendung ketika karauan bagi memastikan lilitan tali sekata dan tidak hanya tertumpu pada bahagian tertentu sehingga ia membukit lantas menyentuh badan kekili atau tapak pemegang joran.

Kalau tali masuk tidak dipacu dengan sekata, kapasiti tali yang dimuatkan juga kurang dan pergerakan tali keluar tidak seimbang. Ini turut mengundang tali pada lilitan tertinggi tergelincir dan akhirnya ia mudah kusut apabila membuat lontaran.

Ketika mengepit tali oleh jari telunjuk dan ibu jari, pastikan anda beri tekanan sedikit terutama jika tali yang tiada bebanan (mula-mula digulung masuk) supaya ketat. Ketika tali digulung masuk, gunakan kain lembut seperti kain mengelap cermin kereta. Pegang tali dengan kuat sambil mengenakan tekanan 1/2 kekuatan tali itu.

Awas, jangan calarkan tali ketika menggulungnya kerana kekuatan tali akan menurun. Akibatnya, tali tiba-tiba putus ketika bertarung dengan mangsa.

Infro Pancing

Timba etika, ilmu selok-belok memancing ikan

UNTUK menjadi seorang pemancing beretika dan berdisiplin, anda harus menanamkan sifat positif serta semangat yang jitu kerana masa depan alam sekitar dan sumber ikan boleh dikatakan terletak di tangan anda.

Meskipun anda hanya seorang daripada berjuta pemancing di planet ini, jika semuanya memiliki tahap kesedaran yang tinggi maka sumber perikanan tidak akan habis tetapi mungkin membiak dan bertambah dengan jayanya.

Mungkin tiada sekolah atau akademi memancing yang ditubuhkan di negara kita. Kalau adapun hanya kursus perikanan atau latihan yang sama tahap dengan kursus untuk kemahiran atau mengenali kegiatan itu sendiri.

Di luar negara seperti di Eropah, ada institusi atau badan khusus yang menganjurkan atau menyediakan ilmu selok-belok memancing, menjadi pemancing yang berketrampilan ataupun menjadi operator kegiatan memancing berwibawa dan berilmu.

Anda boleh rujuk gerbang pencarian mamma.com kerana ia menyediakan berpuluh laman mengenai tajuk itu.

Antaranya http://www.academicinfo.net/fisheries.html yang dipecahkan kepada banyak tajuk lain dan anda boleh pilih daripada paparan itu. Ada satu lagi gerbang maklumat iaitu http://www.fisheries.org/html/index.shtml yang disertakan dengan maklumat dan tujuan seseorang operator memancing harus mendalami bidang itu.

Cara menjaga tali sulam

Ada tiga kaedah biasa diamalkan oleh kebanyakan pemancing untuk mencuci tali sulam selepas memancing.

Pertama,

Membilas dengan air paip sebaik saja selesai memancing.Hal itu disebabkan air masin yang menyerap dalam tali sulam belum lagi membentuk garam atau menjadi pepejal. Justeru, tali wajar dibilas segera. Untuk membilasnya, anda perlu ketatkan terlebih dulu sistem tegangan (drag) hingga tahap maksima supaya air yang dijirus ke kekili dapat dihalang daripada memasuki badan kekili. Jika air menyerap masuk, alas bebola akan mudah berkarat.

Kedua,

Jika menggunakan kekili jenis mendatar (spinning), anda boleh membersihkan tali sulam dengan menanggalkan gegedung daripada kekili dan rendam atau jirus air paip pada tali sulam sehingga larutan air masin dalam gulungan dibilas sepenuhnya.Anda juga boleh merendam gegedung dalam bekas air tetapi ini hanya sesuai untuk kekili mendatar yang mempunyai sistem tegangan di bahagian belakang. Untuk gegedung yang mempunyai sistem tegangan di depan, jangan rendamnya kerana ini mungkin menyebabkan gasket dan spring tidak dapat berfungsi dengan baik bila terkena air dalam jumlah yang banyak. Ingat, fungsi sistem tegangan amat penting dalam kekili.

Ketiga,

Cara terbaik ialah keluarkan semua tali sulam dalam kekili dan simpan dalam koyan plastik. Kekili yang disimpan tanpa tali didalamnya dapat mengelakkan gegedung rosak atau mengelakkan pepejal garam melekat padanya.Tali sulam kemudian boleh dicuci dan biarkan ia sejat dalam kawasan redup pada suhu bilik. Jangan jemur selepas cuci tali. Memadai sekadar membiarkannya kering sendiri. Selepas itu, masukkan semula tali sulam sebelum trip akan datang. Namun cara ini tidak ramai diamalkan pemancing yang kesuntukan masa.

Mengikat WORLD’S FAIR

GARY Martin menggelarkan ikatan ini sebagai ‘World’s Fair Knot’ selepas memenangi 498 penyertaan di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Du Pont di Knoxville Amerika Syarikat pada 1982.



Simpulan ini juga dikenal pasti sukar terurai.

1. Buat gelung atau lapiskan tali dan kemudian masukkan bahagian hujung lipatan ke lubang mata kail.

2. Masukkan bahagian ke hujung lingkaran dan lakukan dua lapisan.

3. Kemudian lipatkan bahagian belakang dan masukkan ke bahagian bawah.

4. Ambil bahagain hujung tali dan lilitkan gelung dengan melakukan cara yang sebelum ini.

5. Kemudian tarik setiap simpulan untuk memperkemaskannya.

Lailatul Qadar






AMALAN Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

  • Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu.

Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

  • Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: ''Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.''

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: ''Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.''

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

  • Memperbanyakkan doa.

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Baginda untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: ''Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).''

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: ''Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.''

Infro Pancing

MEMBELI peralatan memancing memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika kedai yang dikunjungi ialah gudang serba lengkap dengan peralatan hobi itu. Pastinya anda akan rambang mata kerana mempunyai banyak pilihan dan harganya pula berpatutan.

Malah, pengusaha kedai peralatan memancing boleh mendapatkan stok dari gudang besar ini kerana lazimnya kedai bertaraf pasar raya mengenakan harga lebih murah berbanding kedai bersaiz sederhana atau runcit biasa.

Bagi kaki pancing yang berminat membuka kedai pancing, ada beberapa laman web yang boleh dilayari untuk mendapatkan peralatan berkualiti dan anda boleh memesan terus tertakluk kepada syarat.

Laman web http://www.barlowstackle.com/ misalnya menerima tempahan melalui laman web. Untuk bahagian umpan tiruan, ada berpuluh jenis umpan tiruan (soft plastic) yang boleh anda pilih seperti cacing atau cicak, ulat dan ikan. Ada lebih 300 umpan tiruan yang dipamerkan.

Jika rajin, anda boleh membandingkan harga barangan itu dengan laman web lain. Harganya mungkin berbeza. Laman web http://www.tacklewarehouse.com/, dan http://www.bluewater-anglers.com/fishing.htm adalah dua gerbang yang menyediakan pelbagai jenis kelengkapan yang memuaskan hati jika berpeluang berkunjung ke gedung seperti itu.

EXPLORER Tracker 20


EXPLORER Tracker 20, keluaran terbaru Boat Explorer Sdn Bhd (Boat Explorer) yang sesuai digunakan untuk kaki pancing bagi menjejaki ‘mangsa’ mereka sama ada di laut, tasik atau sungai.

Keadaan lunasnya yang lebih tirus dan tajam memudahkan ia membelah ombak dengan lebih lancar untuk menjanjikan perjalanan yang lebih selesa dan pantas ketika membelah ombak.

Bot yang turut dilengkapi dengan stering ini menjanjikan kelebihan kepada pemilikinya keadaan dalam yang selesa serta panjangnya 6.1 meter manakala lebarnya, 1.8 meter juga menjanjikan ruang selesa dan luas.

Rekaan terbaru untuk kaki pancing ini boleh dilengkapi dengan enjin antara 50 hingga 85 kuasa kuda. Keterangan lanjut, hubungi 06-3153396,.

SIMPULAN PALOMAR

SIMPULAN Palomar mudah dilakukan. Ikatannya kukuh dan kemas sekali gus bersesuaian dengan pelbagai keadaan yang berkaitan dengan memancing. Ikut langkah satu hingga empat dan anda akan memiliki satu ikatan terbaik.



1. Buat gelung atau lapiskan tali pancing dan masukkan tali pancing ke lubang mata kail.

2. Buat satu simpulan dengan menggunakan hujung tali.

3. Tarik simpulan tali sehingga melebihi panjang mata kail.

4. Akhir sekali tarik tali utama dan kemaskan ikatan.

Simpul Darah Songsang

KEGAGALAN membuat ikatan atau simpulan yang betul berakhir dengan pemancing putih mata. Lazimnya mata kail terlucut dan ikan yang diidamkan meloloskan diri.Kali ini JORAN menampilkan simpulan darah songsang. Ia hampir sama simpulan darah namun ikatan yang dilakukan berganda untuk memastikan ikatan lebih kukuh. Simpulan dilakukan dalam keadaan songsang berbanding simpulan darah.

1. Pastikan ikatan pertama pada mata kail dilakukan dengan sempurna bagi memastikan ia dibuat dengan betul.

2. Ikatan pada mata kail dilakukan dua kali bagi memastikan ia tidak mudah lucut ketika memancing.

3. Kemudian, lakukan simpulan beberapa kali serta rapatkan setiap simpulan.

4. Selepas melakukan tiga simpulan, sulamkan tali itu ke pangkal dengan mengulangi ikatan yang sama.

5. Ulang ikatan yang sama sehingga simpulan pertama yang dilakukan pada mata kail.6. Ketatkan ikatan untuk memastikan ia betul-betul kemas.

Elak Guna Bomoh Pancing

Lima perkara asas dalam dunia memancing iaitu:

(a). Sasaran - Sasaran utama memancing ialah untuk menjinakkan ikan, sotong, ketam, udang dan sebagainya. Tanpa sasaran, memancing akan sia-sia.

(b). Umpan - Memancing perlu umpan sebagai alat untuk menarik perhatian mangsa. Umpan boleh didefinasikan sebagai umpan hidup, mati mahupun tiruan seperti gewang, jigs dan plastik lembut. Tanpa umpan, ikan buruan tidak akan menjamah pancing.

(c). Masa - Sesetengah ikan, diet dan seleranya berkait rapat dengan masa sama ada siang, malam, masa wujud arus, masa tiada arus atau musim di kawasan persekitaran.

(d). Peralatan dan Kemahiran - Setiap kawasan dan jenis ikan buruan mesti dipadankan dengan peralatan yang sesuai. Membuat pilihan alat yang tidak seimbang dan sesuai boleh mengundang kegagalan. Pemilihan, penggunaan dan kawalan terhadap peralatan pula memerlukan kemahiran yang ditimba melalui pengalaman, tunjuk ajar dan melalui bacaan termasuk sumber internet.

(e). Nasib - Nasib bukan satu pintu rezeki tanpa ia diusahakan terlebih dulu. Contohnya, jika anda menaiki bot pergi memancing, jangan berharap ikan meloncat masuk ke dalam bot. Konsep memancing memang tidak dapat lari daripada pepatah ‘ikan di air tiada siapa yang tahu’. Namun untuk memperolehinya anda mesti berusaha sebelum menyerah kepada ketentuan Allah.

Jika kita memancing di kawasan yang sama (dalam satu bot) dengan peralatan, umpan dan teknik sama. Tiba-tiba hanya rakan di sebelah yang mendapat ikan sedangkan umpan anda langsung tidak disentuh. Jika ini berlaku, ia boleh diandaikan rakan anda lebih bernasib. Tetapi jika anda sedang bertarung dengan saiz ikan yang sama, peralatan yang sama, tiba-tiba anda gagal atau ikan terlepas mahupun tali putus, sedangkan rakan anda berjaya menewaskan gergasi itu maka ini boleh dikatakan kemahiran yang menentukan kejayaan.

Jadi, petua memancing ialah kita perlu ada asas dan memahami lima elemen utama ini. Tidak usah menggunakan khidmat bomoh!

Memancing 1 Syawal haram

Memancing atau melakukan hobi lain seperti memburu pada hari pertama Aidilfitri hukumnya berdosa kerana perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam, kata pendakwah-pendakwah dan perunding -perunding motivasi.

Tindakan demikian adalah mengingkari sunnah Rasulullah dan perintah Allah kerana Aidilfitri disambut bukan semata-mata untuk berseronok tetapi sebagai satu syariat dan ibadat.

Aidilfitri bukan satu adat sehingga boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Ini terbukti apabila Allah turut mengharamkan umat Islam berpuasa pada 1 Syawal sebagai membuktikan Aidilfitri mesti diraikan selepas sebulan berpuasa Ramadan.

'Aidilfitri bukan adat tetapi ibadat sehingga Allah mengharamkan kita berpuasa pada 1 Syawal. Oleh itu, seseorang yang sengaja lari daripada menziarahi sanak-saudara, bermaaf-maafan dan menerima kunjungan rakan dan keluarga maka hukumnya berdosa.

'Tindakan pergi memancing boleh merenggangkan silaturahim dan mencetuskan tanggapan buruk kerana pada Aidilfitri ini, Allah menyuruh kita saling ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan selain solat sunat.

'Allah dan Rasulullah menyuruh kita berhari raya tetapi dengan mengikut syarikat dan landasan sebenar.

Oleh itu, kalau ada sesiapa yang hendak pergi memancing atau berburu pada 1 Syawal maka lakukan pada hari lain. Banyak lagi masa yang boleh kita lakukan. Aidilfitri hanya sekali setahun.

Sikap sesetengah kaki pancing yang meninggalkan rumah pergi memancing selepas solat sunat Aidilfitri adalah tidak bagus dan haram,sama ada pergi memancing sama di kolam komersial mahupun trip memancing di laut dalam atau jauh ke tengah hutan selama beberapa hari.Nasihat saya, memancinglah hari lain, kerana bagi saya, perbuatan ini tidak patut. Kalau Allah pun mengharamkan kita berpuasa pada 1 Syawal inikan pula memancing sebagai satu hobi.

Saya menasihatkan pilihlah hari lain demi anak isteri dan keluarga. Lakukan ziarah kubur, ziarah ibu bapa dan keluarga kita adalah dituntut oleh Islam.

Kalau hendak memancing juga, tunggulah seminggu atau dua minggu selepas itu. Kalau tidak, janggal rasanya dan orang lain tentu rasa pelik dengan cara kita.

Bazar Ramadan


Siapa Tu...Bergini lah suasana di sepanjang bulan Ramadan.Apabila bulan puasa tiba bazar ramadan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah untuk berbuka puasa.Tahun demi tahun macam biasa isteri aku akan ambil satu tapak bazar untuk jualannya.Bazar ramadan ini terletak di Terminal Larkin Johor Baharu,Malaysia.Gambar yang diatas tu ,aku sedang tolong isteri aku berniaga .Antara juadah yang dijual.....



Yang Di atas tu Ikan bakar,ada ikan pari.siakap,Bawal,caru dan lain lagi.Kan aku dah cerita pada episod yang lepas-lepas,ini lah dia ikan bakar.Pelangan tetap ikan bakar memang sudah ada.Singaporean juga ramai yang gemar dengan ikan bakar jualan isteri aku.Kadang-kadang ada setengah pelangan tu ,tiap-tiap hari ikan bakar -ikan bakar. Selain dari tu tak ketinggalan jualan kuih-muih ,otok-otak,lemang dan bermacam-macam lagi.
Si kecil anak ku juga tak ketinggalan untuk menolong ibu nya berniaga.

Yang ni anak saudara aku yang sentiasa menolong isteri aku .Farid namanya.

Panduan Keselamatan 2

APA yang akan berlaku di laut adalah satu situasi yang sukar diramalkan. Kadangkala, hujan lebat atau ribut taufan boleh berlaku sekelip mata. Jadi, anda harus bersedia dalam apa jua keadaan.Faktor utama yang tidak boleh diabaikan ialah faktor keselamatan. Justeru jaket keselamatan tidak harus dilupakan sama sekali apabila anda hendak turun memancing ke laut.

Bagi anda yang berkesempatan, rajin-rajinlah berkunjung menerokai lama web untuk mendapatkan tips keselamatan ketika turun ke laut.

Antara laman web yang boleh dikunjungi ialah http://www.hentiesbay.com/Tourism/safety/Safety.htm dan http://www.wildlife.state.nh.us/Fishing/Fishing_PDFs/Safety_on_ice.pdf. Kedua-dua laman ini ada memaparkan beberapa petua atau panduan yang boleh anda ikuti atau jadikan panduan sekiranya turun ke laut. Apa yang diperkatakan oleh laman web berkenaan boleh dipakai guna kerana ia lazimnya menggariskan panduan kelautan yang sama.

Yang pasti, sebelum turun ke laut, beritahu orang terdekat dengan kedudukan lokasi atau tempat yang anda tuju, berapa hari anda di laut dan siapakah individu yang ada bersama anda. Jangan lupa meninggalkan nombor telefon untuk berhubung sekiranya ada kes kecemasan.

Tidak rugi anda bersembang atau berbual dengan mana-mana nelayan atau penduduk tempatan mengenai selok belok perairan yang anda akan jelajahi itu.