Raya Petunjuk Kualiti Ibadat Puasa

SETELAH hampir sebulan Ramadan, esok umat Islam menyambut satu Syawal dengan penuh gembira. Nikmat satu Syawal bermakna kita kembali kepada fitrah. Sebab itu, hari raya satu Syawal dikenali sebagai I'dul Fitri.

Ramadan sebagai satu sekolah atau institut yang bertujuan melahirkan generasi bertakwa hampir musnah matlamatnya apabila menjelangnya raya. Dalam bulan Ramadan, umat Islam gigih berpuasa dan beribadat. Namun apabila tibanya cahaya Syawal, semuanya hanya tinggal kenangan.

Apakah amalan-amalan sunat pada hari raya?
Bagi menjaga kelangsungan ibadah bulan Ramadan agar terus berkesinambungan dalam awal Syawal, ini adalah senarai amalan yang baik dilaksanakan pada hari raya.

1. Menghidupkan malam raya dengan ibadat seperti zikir, solat, tilawah al-Quran, takbir, tasbih dan istighfar.

Ini adalah senarai amalan yang sering diabaikan pada malam raya. Didapati masjid dan surau lengang. Malah untuk melihat saf solat macam solat terawih sudah tidak nampak lagi. Kalau semasa Ramadan, masjid melimpah-ruah dengan para jemaah, kini mungkin hanya tinggal pak imam dan bilal sahaja.

Tilawah al-Quran juga diabaikan. Apa yang nak dibaca lagi. Sudah khatam al-Quran pada malam 27 Ramadan seolah-olah khatam al-Quran penutup daripada membaca kitab suci itu. Takbir raya pun hanya sekadar rakaman di televisyen dan radio sahaja.

Sebenarnya, menghidupkan malam raya dengan amal ibadat ini besar fadhilatnya. Diriwayatkan satu sabda Nabi s.a.w. maksudnya : Sesiapa yang bangun malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekelian hati. (Riwayat Ibnu Majah).

2. Solat Isyak dan Subuh berjemaah.

Ini adalah sekurang-kurang kaedah bagi menghidupkan malam raya. Solat Isyak mungkin OK tapi solat Subuh kebanyakannya KO. Masjid lengang juga waktu solat Subuh tetapi penuh sesak ketika solat hari Raya.

3. Mandi sunat hari raya, memakai baju yang elok dan memakai wangian. Alhamdulillah, bab ini tak ada masalah. Bahkan dua bulan sebelum raya lagi, ramai umat Islam sudah membeli kain untuk dijadikan baju raya. Bukan satu bahkan dua atau tiga pasang setiap seorang.

Mandi sunat hari raya waktunya sekitar awal pagi sebelum Subuh lagi. Kalau mandi sunat selepas solat Subuh tidak mengapa. Menjadi sunnah Nabi s.a.w. untuk mandi pada hari raya.

Begitu jugalah digalakkan agar memotong kuku. Mungkin juga elok jika rambut yang panjang bagi lelaki dipotong pendek.

4. Makan sedikit dahulu sebelum solat raya Fitrah. Maknanya elok diambil sedikit sarapan sebelum pergi ke tempat solat Raya. Hikmatnya bagi menyatakan bahawa hari ini bukan untuk berpuasa tetapi hari untuk makan. Mengikut sunah Nabi s.a.w., Baginda makan beberapa biji tamar. Anas r.a. berkata : "Adalah Nabi s.a.w. tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar". (Riwayat Bukhari).

Bab ini pun tidak ada masalah. Cuma mungkin kurang sunahnya apabila dimakan terlalu banyak dengan pelbagai jenis makanan. Ada ketupat, masak rendang, lemang, kuih-muih, laksa dan sebagainya.

5. Segera ke tempat solat untuk menanti solat Raya. Seeloknya berjalan kaki ke tempat solat. Inilah yang sunah kerana ada disebut dalam riwayat Tirmizi bahawa daripada sunah untuk keluar kepada hari raya dalam keadaan berjalan kaki.

Tapi tengok jugalah berapa jauh. Kalau satu atau dua kilometer bolehlah berjalan kaki, tetapi kalau sepuluh kilometer, fikir-fikirlah sendiri.

6. Menzahirkan kegembiraan, ziarah menziarahi keluarga terdekat, kaum-kerabat dan sahabat-handai. Dengan ini akan terjalinlah kemesraan dan mahabbah kasih sayang antara umat Islam. Malangnya amalan ini mungkin kurang sikit. Ramai juga yang terperangkap dengan program televisyen yang memang mengasyikkan.

Hari raya memang baik untuk ziarah, bahkan tuan rumah memang sentiasa menanti kerana ada konsep 'rumah terbuka'.

7. Banyak bersedekah. Yang wajibnya hanya zakat fitrah tetapi kalau ada kemampuan, tak ada salahnya untuk bersedekah sunat. Mungkin inilah yang menjadi amalan tradisi memberi duit raya kepada kanak-kanak. Tak ada salahnya lagipun ia amalan sedekah yang dituntut. Kanak-kanak pula lagilah suka dan seronok apabila mendapat duit raya.

Sedekah juga amat digalakkan sepanjang bulan Ramadan. Apabila ditanya tentang sedekah yang afdhal, sabda Nabi s.a.w. : Sedekah pada bulan Ramadan. (Riwayat Tirmizi).

Bagaimana dengan amalan menziarahi kubur?

Adakah ziarah kubur ini sunat pada hari raya? Ada orang yang tidak menggalakkan ziarah kubur pada hari raya.

Walau bagaimanapun, ziarah kubur memang dituntut dalam Islam agar dapat mengingatkan kepada mati. Cuma, anak-anak muda sekarang banyak menetap di bandar-bandar besar. Jadi peluang menziarahi kubur kaum keluarga ketika pulang ke kampung. Kalau ditegah, alamatnya lambatlah nak ziarah kubur.

Yang penting, umat Islam perlulah bersedia untuk meneruskan kualiti ibadah puasa dengan menjaga kesinambungannya selepas berlabuhnya tirai Ramadan.

Antara perkara yang tidak mengikut syariat ketika berhari raya:

1. Pakaian mendedahkan aurat

Dedah aurat ini hukumnya tak boleh dalam Islam. Kebetulan pula hari raya ini berkumpul saudara mara, sahabat-handai, sepupu dan sebagainya di rumah, maka waktu inilah aurat agak terbuka. Waktu ini jugalah hendak melawa sambil menunjuk barang kemas yang ada sampai ke lengan, leher dan subang di telinga.

2. Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram

Kes begini selalu berlaku ketika hari raya. Mengikut hukum Islam, tidak berapa boleh juga hendak bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Kalau mahram tidak mengapa. Mahram ini ialah muhrim dalam bahasa orang Melayu. Mahram ialah orang yang tak boleh berkahwin dengan seseorang. Contohnya A, seorang lelaki. Mahramnya ialah ibu, nenek, ibu saudara, adik atau kakak kandung. Kalau B pula, seorang wanita maka mahramnya ialah bapa, datuk, bapa saudara, adik atau abang kandung.

Nabi s.a.w. tidak pernah menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Hinggakan pada waktu perjanjian atau baia'h, Nabi s.a.w. hanya membuat perjanjian dengan suara sahaja bersama wanita, bukan dengan berjabat tangan atau shake hand. Tetapi masa hari raya, bab salam ini kira borong sekali. Kawan sekelas, abang angkat, kakak angkat dan macam-macam hubungan yang tak mahram sudah jadi lain. Kalau nak bersalam juga, boleh tetapi biarlah berlapik dengan kain sebagai contoh.

3. Terlalu banyak makan minum
Memang hari raya hari yang tak boleh berpuasa. Maknanya kena makan. Tetapi walaupun Islam suruh makan, tetapi prinsip sederhana dalam makan hendaklah diutamakan. Banyak penyakit moden puncanya adalah terlebih makan. Diabetes, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan lain-lainnya adalah berpunca terlebih makan.

4. Rumah terbuka, masjid tutup

Memanglah majlis rumah terbuka amalan mulia. Sambil menjamu selera, dapat beramah mesra dan berkenalan dengan sanak-saudara. Yang tak baiknya, masjid pada hari raya sudah ditutup. Yang tinggal tok imam dengan bilal sahaja. Bulan Ramadan masjid meriah, tiba-tiba pada hari raya masjid ditutup pula.

5. Budaya terperap di rumah

Hanya menonton televisyen merupakan satu budaya yang kurang baik. Masa terbuang dan ziarah merapatkan silaturahim pun kurang.

KESIMPULAN

Hari raya adalah simbolik kepada kejayaan kita beribadat. Namun kemenangan ini tercalar apabila kita tidak meraikan hari raya dengan dengan berpandukan hukum agama.

No comments:

Post a Comment