MEMANCING adalah hobi yang santai. Ia membawa anda kembali kepada alam, kedamaian jiwa dan minda. Justeru, hobi ini perlu dipraktikkan dengan penuh etika untuk mencapai keselesaan dan kedamaian serta memperoleh tumpuan.
Berikut adalah beberapa panduan bagi memastikan anda dalam keadaan selesa, selamat dan memperoleh tangkapan terbaik bagi setiap trip memancing. Yang penting, anda benar-benar seronok memancing!
1.Jangan meminum arak – Ini tindakan bijak untuk mengelakkan pelbagai perkara buruk berlaku di lokasi pancing. Walaupun kononnya minum arak bakal mengundang kegembiraan sebenarnya perbuatan itu bukan saja menyusahkan diri sendiri malah rakan, tekong dan orang tersayang yang anda tinggalkan di rumah.Adalah lebih baik anda meminum lebih banyak jus buah-buahan, air mineral dan minuman ringan lain. Malah bagi sesetengah trip, meminum air karbonat mampu mengatasi sebu angin dalam perut sekali gus muntah.
2.Pada sebelah malam atau ketika berada dalam cuaca sejuk, minum lebih banyak minuman panas seperti kopi, minuman tenaga dan tonik. Ini bagi memastikan anda kekal hangat dalam cuaca sejuk itu.
3.Jangan berkira soal membeli makanan bertenaga dan berkhasiat terutama untuk dibawa ke lokasi pancing. Tenaga diperlukan untuk anda melakukan pancingan dasar, pancingan berumpan atau pancingan layang. Malah memancing adalah aktiviti fizikal yang memerlukan banyak tenaga. Jika anda mula terasa lapar, letih atau lesu, ini mula mengundang fikiran anda untuk balik ke rumah.
4 Jangan sekali-kali lupa membawa topi sekali pun anda tidak mahu memakainya. Sekalipun anda mungkin lasak dan mampu melalui panas terik tetapi topi mungkin diperlukan jika hujan atau sebelah malam. Kepanasan sebenarnya turut melemahkan badan. Jadi dengan bertopi atau memancing di tempat yang terlindung, ini akan menjimatkan tenaga anda!
5.Pastikan anda sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Sebab itu, pemancing yang naik sentiasa membawa tuala tangan atau memakai sarung tangan bagi memastikan tapak tangan bersih. Cuci tangan serta-merta selepas memasang umpan seperti dedak, cacing dan ikan. Ini untuk mengelakkan anda menggunakannya bagi memegang makanan atau minuman.
6.Sentiasa berhati-hati ketika berada di tebing sungai, tali air, atau laut terutama ketika musim hujan. Tebing ketika itu licin dan anda mungkin tergelincir. Ingat, jatuh tergelincir akan menyebabkan pelbagai bentuk bahaya dan kecederaan. Malah tahap paling serius anda mungkin lemas dalam air!
7.Jika ada nyamuk, agas atau serangga lain yang menggigit, anda boleh menangani dengan menyapu permukaan kulit yang terdedah dengan salap (balm) anti-serangga. Anda benar-benar tidak boleh memancing jika asyik melayan nyamuk atau agas!
8.Jika anda berhasrat memancing dengan meranduk air, pastikan anda tahu di mana hendak berehat seketika bila badan gatal. Sebab itu, pastikan anda memakai salap, pakaian bersih dan kering untuk mengelak gatal.
9.Jangan membawa terlalu banyak perkakasan di lokasi pancing sehingga anda umpama dihalau dari rumah. Bawa yang perlu dan berkongsi dengan rakan adalah cara terbaik mengurangkan beban.
10.Jika anda bermalam di lokasi pancing, pastikan anda membawa perkakasan lengkap untuk tidur seperti beg tidur, kelambu, pangkin mudah pasang dan khemah. Jangan memperjudikan badan dengan tidur di atas timbunan rumput, daun atau tikar.
No comments:
Post a Comment