Tali Pancing Berwarna



Warna-warni tali sulam dan tangsi sebenarnya adalah untuk memancing kita. Ada juga tali warna ini dibuat mengikut panjang tertentu berselang seli supaya memudahkan pemancing menentukan jarak tangsi setiap pelepasan dibuat.

Jika ia adalah tali utama, ramai pemancing ingin warna yang terang dan mudah dilihat ketika memancing lebih-lebih lagi sebelah malam.

Sesetengah pemancing gemar warna yang cantik dipadankan dengan kekili berjenama serta joran berwarna garang. Ada juga yang gemar warna gelap atau jenis halimunan kerana percaya ia tidak mudah dilihat ikan.

Dengan ini mereka percaya kadar sentapan lebih tinggi berbanding penggunaan tangsi yang terang. Bagi penulis, warna tali utama tidak begitu berkesan mempengaruhi ikan kerana tali utama biasanya jauh dari kedudukan umpan.

Bagi ikan, ia tidak mendatangkan kesan besar. Yang penting bagi ikan ialah persembahan umpan (biasa atau tiruan) yang boleh menimbulkan serta menarik minat untuk diterkam.

Yang perlu dititikberatkan ialah warna perambut biar sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan. Jangan menggunakan tali terlalu terang dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka persekitaran dan ada juga fobia dengan tangsi (mungkin seperti pukat ikan).

Untuk memancing di muara yang mana airnya tidak dalam, saya syorkan anda menggunakan tangsi berbanding tali sulam. Ini akan menambah keseronokan dan kepuasan anda ketika membalas sentapan. Tangsi akan 'memberi' sedikit anjakan dan suntikan balas yang melampau kadang-kala boleh merobekkan mulut ikan.

Seperkara lagi, jika air keruh lebih elok anda gunakan tali berwarna gelap sedikit kerana tali warna cerah akan pudar disebabkan pengaruh air. Tali sulam jika kehabisan salutan lilin akan membenarkan air meresapi dan air yang keruh boleh menukar warna tali menjadi kotor.

Untuk tali utama, sebarang warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika anda masih berminat menggunakan tali sulam untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang sedikit.

0 comments:

Post a Comment

Followers